Azalina harap Anwar tunai janji tubuhkan kementerian undang-undang

Azalina harap Anwar tunai janji tubuhkan kementerian undang-undang

AZALINA Othman Said ketika berucap di Majlis Penyerahan Ruang Pejabat Bahagian Pembelaan Awam, Pelancaran Kembara Justice On Wheels (JOW) dan Pentauliahan Pengawai Pengantara di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berharap Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dapat dinaik taraf menjadi sebuah kementerian undang-undang seawal tahun depan.

Katanya, keperluan tersebut semakin mendesak berikutan pelbagai pindaan undang-undang yang dilaksanakan kerajaan sejak kebelakangan ini.

“Saya berharap pada tahun depan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kalau dikekalkan jadi Perdana Menteri, tunaikan janji lepas pilihan raya jadikan BHEUU ini sebagai satu kementerian. Harapan saya, doa saya,” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Ruang Pejabat Bahagian Pembelaan Awam, Pelancaran Kembara Justice On Wheels (JOW) dan Pentauliahan Pengawai Pengantara di sini, hari ini.

Menurutnya, pelbagai pindaan undang-undang yang diperkenalkan telah memperluas skop tugas bahagian berkaitan undang-undang termasuk melibatkan peringkat antarabangsa.

“Contohnya isu berkaitan tribunal anti-buli, selain bantuan guaman dan pembelaan awam. Semua pindaan ini jelas menambah beban tugas sedia ada,” katanya.

Katanya, pertambahan tanggungjawab itu turut melibatkan keperluan dari segi tenaga kerja, jabatan serta penyelarasan pentadbiran yang lebih tersusun.

“Tambahan pula dari segi kakitangan, jabatan dan kementerian, sebab itu saya kata harapan mungkin selepas pilihan raya, saya harap kita dapat laksanakan satu kementerian untuk bahagian undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, cadangan tersebut merupakan pandangan peribadi beliau dan bukan mewakili pendirian parti.

Tambah beliau, penubuhan kementerian itu bukan bertujuan memperkecilkan peranan Jabatan Perdana Menteri, sebaliknya bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran.

“Dengan adanya kementeriannya tersendiri, Ketua Setiausaha, Setiausaha Bahagian serta Ketua Pengarah dapat bergerak dengan lebih efektif untuk membantu rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Azalina turut mengingatkan bahawa komitmen terhadap reformasi undang-undang perlu disusuli tindakan, bukan sekadar janji.

“Kalau kita nak buat yang terbaik, buatlah yang terbaik. Apa guna menanam tebu di bibir mulut tetapi tidak melaksanakan janji-janji pada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN