KUALA LUMPUR: Dron Matrice 210 RTK dan Matrice 600 yang digunakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam tugas mencari dan menyelamat (SAR) menjadi tumpuan pengunjung dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di sini.
Ketua Unit Latihan Bahagian Udara JBPM, Penguasa Bomba Muhammad Fadzli Abu Bakar berkata, Bahagian Udara ditubuhkan pada tahun 1998 dengan aset awal diterima melibatkan dua unit helikopter dari Rusia.
Menurutnya, Bahagian Udara JBPM bukan sahaja menggunakan aset helikopter, tetapi dron bagi membantu jabatan melaksanakan operasi.
Jelasnya, dron ini memudahkan pencarian mangsa selain menjimatkan bahan api pesawat.
“Bagi edisi kali ini, kita mempamerkan empat model helikopter JBPM bersama dua unit dron termasuk dron Matrice 210 RTK.
“Dron tersebut yang mempunyai pengesan haba untuk digunakan bagi mencari mangsa hilang.
“Dron ini berjaya menemui satu mangsa yang tersepit dan telah meninggal dunia di bahagian atas. Ia pernah digunakan dalam SAR mangsa jambatan runtuh di ibu negara beberapa tahun lalu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di reruai JBPM di MITEC semalam.
Menurutnya, bagi Matrice 600 pula, ia bersaiz lebih besar dengan mempunyai kelebihan kotak kecil di bahagian bawah yang membolehkan muatan seberat kira-kira enam kilogram dengan jarak penerbangan sejauh empat kilometer serta dilengkapi kamera.
Katanya, kotak itu akan memuatkan barang bantuan awal kepada mangsa terperangkap.
“Contohnya, untuk mangsa banjir, bila dron terbang bagi mengesan mangsa.
“Kotak pada dron akan membawa bekalan bantuan awal termasuklah sumber makanan seperti air dan roti selain radio bagi komunikasi dengan kita pasukan penyelamat sementara menunggu bot tiba.
“Antara operasi besar yang dilaksanakan dron ini ialah tragedi banjir besar di Sri Muda, Shah Alam pada tahun 2021,” ujarnya. – UTUSAN










