KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melancarkan aplikasi Sistem Pengurusan Maklumat Bencana Malaysia (MyDIMS) sebagai platform bersepadu bagi mempertingkat kesiapsiagaan rakyat dalam menghadapi sebarang bencana.
Ketua Pengarahnya, Meor Ismail Meor Akim berkata, MyDIMS merupakan aplikasi maklumat yang mengintegrasikan amaran serta data bencana daripada pelbagai agensi teknikal secara bersepadu.
Menurutnya, aplikasi ini juga dilengkapi pautan dail segera ke talian kecemasan MERS 999 bagi mempercepatkan tindak balas bantuan dalam situasi kritikal.
“Kelebihan utama aplikasi berkenaan ialah keupayaan menghantar notifikasi segera (push notification) sebagai amaran awal sekiranya pengguna berada dalam radius 25 kilometer dari lokasi bencana.
“Oleh itu, pengguna dapat memantau status terkini sesuatu bencana termasuk jumlah mangsa dan bilangan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka.
“Ciri ini dapat membantu orang ramai merancang tindakan dengan lebih tersusun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan aplikasi itu sempena Resilient Asia 2026 di ibu negara di sini, hari ini.
Meor berkata, sistem itu bersifat dua hala di mana masyarakat boleh membuat hebahan berkaitan bendana melalui aplikasi.
“Di mana sesuai dengan keadaan sekarang, kita kata maklumat di hujung jari. Jadi orang ramai juga boleh membuat amaran dan juga hebahan bencana,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, MyDIMS juga akan berfungsi sebagai hab rujukan dengan menyediakan pintasan ke beberapa aplikasi agensi teknikal lain seperti myCuaca, MyPublic InfoBanjir, MyJAS EQMS, Bencana JKR, MyIBJKM dan myPasangSurut bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci.
“Pengguna turut boleh menggunakan fungsi dalam aplikasi untuk mengakses talian kecemasan dengan lebih pantas serta mendapatkan nombor telefon Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di peringkat negeri dan daerah.
“Selain itu, aplikasi berkenaan turut memudahkan pengguna menghubungi agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia berdasarkan lokasi semasa mereka,” katanya. – UTUSAN











