Aktiviti cuci tandas bantu bina karakter pelajar

Aktiviti cuci tandas bantu bina karakter pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua sekolah di negara ini menyediakan jadual mencuci  tandas melibatkan pelajar perlu dilihat dalam dua konteks yang penting, iaitu selain memastikan kebersihan tandas sekolah, aktiviti ini juga mampu membina karakter pelajar dalam memupuk jati diri dan melahirkan budaya tanggungjawab bersama.

Amalan ini tidak boleh dilabel sebagai aktiviti yang menghukum atau menyusahkan pelajar, sebaliknya semua pihak khususnya ibu bapa perlu memahami tujuan utama pelaksanaan sekali gus membantu anak-anak mereka mematuhi penetapan jadual oleh pihak sekolah. Beri galakkan dan motivasi agar anak seronok melaksanakan tugasan ini di sekolah.

Secara prinsipnya kita perlu elak sebarang bentuk prasangka negatif tentang amalan ini, apatah lagi cuba bermain emosi dengan sentimen ‘kasihan anak-anak kena cuci tandas’. Sikap seperti ini bukan saja akan menjejaskan pelaksanaan aktiviti tersebut, malah dikhuatiri akan mengganggu proses pendidikan dan pembentukan karakter yang cukup signifikan.

Ironinya, kita perlu memahami dan memaknai falsafah di sebalik aktiviti ini yang lazimnya dipandang rendah atau dikategorikan sebagai kotor dan jijik. Harus diingat, apabila pelajar terlibat secara langsung dalam tugasan ini, aspek pendidikan pertama yang dipelajarinya ialah soal tanggungjawab yakni akan sedar bahawa menjaga kebersihan adalah tanggungjawab kolektif dan bukan kerja orang lain seperti pekerja pembersihan di sekolah.

Kefahaman terhadap menjaga kebersihan ini akan membentuk karakter nilai murni seperti sentiasa menghormati kerja orang lain, tidak melakukan vandalisme, kesedaran bahawa kemudahan awam adalah tanggungjawab bersama dan akan rasa malu untuk membuat kotoran di tandas.

Kita yakin nilai pendidikan di luar bilik darjah ini akan memberi impak besar terhadap perubahan sikap dan pembentukan karakter golongan belia yang bakal menjadi generasi pewaris masa depan negara.

Dalam hal ini kita wajar mencontohi sikap masyarakat Jepun yang sangat menitikberatkan soal kebersihan, dan karakter ini telah dibentuk sejak dibangku sekolah lagi.

Jadi besarlah harapan kita agar ibu bapa tanpa mengira latar belakang dan status akan menyokong penuh aktiviti ini. Biar anak sedar semua pelajar adalah sama sekali gus belajar untuk menjadi manusia yang beradab dan menghargai kemudahan yang ada.

Hakikatnya, sekolah tidak boleh dilihat sebagai tempat untuk belajar soal akademik dan kokorikulum semata-mata, sebaliknya perlu menjadi madrasah yang membentuk karakter dan jati diri generasi masa depan negara.

Justeru kita berharap pihak sekolah dapat merealisasikan hasrat Perdana Menteri ini dengan teratur, yakni ada jadual yang jelas, disediakan peralatan yang bersesuaian, agihan tugas ikut peringkat umur dan tahap kemampuan pelajar, selain memantau secara rapi tugasan yang dilakukan.

Kita tidak mahu niat yang baik berakhir dengan sebarang tragedi yang tidak diingini kerana aktiviti seperti ini tetap ada risikonya kepada tahap keselamatan pelajar.

Pada akhirnya apa yang diharapkan ialah semua pihak menyokong penuh agenda pembentukan karakter ini supaya kita dapat melahirkan generasi masa depan yang lebih bertanggungjawab, cakna dengan kepentingan menjaga kemudahan awam serta memiliki semangat, daya tahan dan jati diri yang kental. –UTUSAN

 

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

YANG DIPERTUA PIBG

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SERI SERDANG

SELANGOR

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN