KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Aishah meluahkan rasa terkilan apabila penjualan tiket konsert Aishah 40 Chapter of Love telah disabotaj pihak tertentu.
Aishah atau namanya Wan Aishah Wan Ariffin, 61, berkata beliau menyedari perkara itu apabila dimaklumkan pembeli tiket gagal membuat pembelian.
“Saya geram, Mungkin kena ‘sailang’. Ada peminat yang berjam-jam cuba membuat tempahan (tiket), tetapi dikatakan penuh.
“Kita tak mahu menuding jari. Cuma nak minta media sampaikan kepada peminat, tiket masih dijual pada ticketmelon.com/voxnationonlive/aishah40,” katanya.
Aishah berkata demikian sempena sidang media konsert Aishah 40 Chapter of Love di restoran Rebung, di sini hari ini.
Penjualan tiket konsert Aishah menerusi platform terdahulu mengalami gangguan teknikal apabila dikatakan habis terjual.
Aishah dalam pada itu mengambil pendekatan untuk tidak memeningkan kepala berhubung isu tersebut dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkenaan untuk diselesaikan.
“Selepas empat dekad, saya akhirnya berpeluang membuat konsert yang berskala besar seperti ini. Jadi, anda fikir saya ada masa untuk semua ini.
“Apa yang penting, kita teruskan konsert ini. Sama ada mahu mengambil tindakan atau tidak, terpulang selepas ini,” kongsinya.
Penganjur, Sean dalam pada itu tidak menolak ada unsur sabotaj terhadap penjualan tiket konsert berkenaan.
“Kami gembira dengan respon peminat namun agak terkilan apabila jualan tiket dikatakan ‘sold out’.
“Jadi hari ini kami nak maklumkan penjualan (tiket) masih berjalan di ticketmelon.com.
“Kita kena bergerak ke depan dan kami nak maklumkan, masih ada tiket untuk peminat,” katanya.










