Air 'bocor': Negara rugi lebih RM4 bilion

Air ‘bocor’: Negara rugi lebih RM4 bilion

Penggunaan air
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia di­anggarkan menanggung ke­rugian melebihi RM4 ­bilion daripada 33.4 peratus kadar air tidak berhasil (NRW) melibatkan Semenanjung dan Wilayah Persekutuan La­buan.

Jumlah itu meningkat le­bih dua kali ganda berban­ding 2008 iaitu sekitar RM1.4 bi­lion, akibat air terawat yang tidak memberi pula­ngan kepada negara.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran berkata, faktor utama penyebab berlakunya NRW adalah kebocoran dalam sistem agihan bekalan air terawat.

Katanya, majoriti jajaran be­kalan di Semenanjung dan Labuan dengan panjang 140,172 kilometer (km) merupakan paip lama dan uzur, selain peratusan kecil kerugian akibat kerugian air serta ralat meter.

“Nilai 33.4 peratus direkodkan sememangnya tinggi. Sejak Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), masalah NRW telah menghantui industri air negara. Satu per tiga air terawat dan bersih hilang tidak membawa pulangan ataupun memenuhi permintaan.

“Salah satu objektif penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) adalah untuk menangani masalah NRW. Sasaran awal untuk NRW sekitar 25 peratus menjelang 2020 juga gagal untuk dicapai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini mela­porkan, kerajaan memperhebat langkah pengurangan kadar NRW yang ketika ini pada paras sekitar 33.4 peratus dengan sasaran menurunkannya kepada 28 peratus menerusi pelbagai intervensi termasuk geran dan projek naik taraf infrastruktur.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha itu dilaksanakan secara bersepadu melibatkan Kerajaan Persekutuan dan kera­jaan negeri bagi memastikan kecekapan pengurusan air negara dapat dipertingkatkan secara menyeluruh.

Piarapakaran berkata, walaupun peratusan NRW pada 2024 hanya sekitar 34.3 peratus, namun jumlah air yang dibazirkan amat tinggi.

“Pada 2008, apabila Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (WSIA) dikuatkuasakan, NRW bagi Semenanjung dan Labuan adalah sekitar 4,152JLH (juta liter sehari) dan ini telah meningkat kepada 5,541JLH pada 2024.

“Ini adalah peningkatan sebanyak 33.5 peratus, walaupun angka NRW dalam peratus tidak meningkat tinggi tetapi jumlah air yang terbazir naik mendadak,” katanya.

Katanya, berdasarkan rekod 2024, Perlis mencatatkan NRW tertinggi dengan 61.5 peratus diikuti Kelantan (53.7 peratus), Kedah (51.1 peratus) dan Pahang (48.6 peratus).

Ujarnya, jika separuh daripada air terawat terbazir begitu sahaja, proses untuk mengumpul semula kos-kos perawatan, bekalan dan perkhidmatan air akan menjadi lebih mencabar.

“Punca utama negeri-negeri ini mengalami masalah NRW adalah kelewatan dalam menstruktur semula industri perkhidmatan air negara mengikut Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (PSIPAN) melalui model WSIA.

“PSIPAN sepatutnya lengkap bagi syarikat-syarikat air menjelang 2010. Kesemua negeri di atas lewat distruktur semula,” jelasnya.

Beliau berkata, difahamkan Terengganu juga belum melakukan penstrukturan semula industri perkhidmatan airnya dan perbincangan masih berlangsung.

“Kami juga ambil kesempatan ini untuk menyeru Kerajaan Negeri Terengganu bagi menstruktur semula dengan kadar segera bagi menambah baik industri perkhidmatan air negeri.

“Jika kerajaan negeri mempunyai sebarang keraguan, pihak kami boleh membantu untuk memberikan penerangan yang adil dan tersusun mengenai PSIPAN dan manfaat kepada kerajaan, ekonomi dan rakyat Terengganu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×