Ahli perniagaan didakwa terima RM128 juta hasil aktiviti haram

Ahli perniagaan didakwa terima RM128 juta hasil aktiviti haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tujuh pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM128.34 juta antara tahun 2012 dan 2013.

P. Shailen, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, lelaki itu didakwa telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah di antara RM2,299,964.69 RM43,060,576.35 dari akaun bank syarikat Paneagle Infratek Sdn Bhd ke akaun bank syarikat Primawin Limited milik tertuduh.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Subang Jaya antara 11 Julai 2012 dan 20 November 2013.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum 15 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Hafizuddin Salehuddin.

Mahkamah membenarkan jaminan RM100,000 dan syarat-syarat tambahan yang ditetapkan bagi kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diguna pakai bagi kes di Mahkamah Shah Alam.

Syarat tambahan itu adalah Shailen dikehendaki melaporkan diri dua bulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat serta tidak mengganggu saksi pendakwaan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Awang Kerisnada turut membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Semalam, Shailen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan bersubahat menggunakan dokumen palsu berhubung pinjaman berjumlah RM400 juta.

Mengikut pertuduhan, Shailen didakwa bersubahat dengan Ranjeet Singh Sidhu, 56, menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu ‘Joint Completion Guarantee’ di antara V Telecoms Berhad dengan Huawei Technologies Co. Ltd. bertarikh 21 Jun 2012.

Ia sebagai memenuhi syarat kelulusan permohonan pinjaman berjumlah RM400 juta daripada sebuah bank untuk membiayai projek ‘membangunkan rangkaian pesisir pantai yang terdiri daripada rangkaian gentian optik di sekitar Semenanjung Malaysia’,.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Sultan Ismail di sini pada 29 Jun 2012.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 dan 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 Jun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×