KUALA LUMPUR: Saksi utama pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau tidak mendedahkan nama Lim Guan Eng dalam siasatan terhadap ahli perniagaan, G. Gnanaraja kerana siasatan khas sedang dijalankan terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, 65, berkata, beliau memberi pernyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018 berhubung siasatan terhadap Gnanaraja berkaitan kes penipuan manakala Guan Eng disiasat berhubung kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang.
Ketika disoal oleh peguam Haijan Omar yang mewakili Guan Eng sama ada pihak SPRM tidak membenarkan beliau mendedahkan nama tertuduh, saksi menafikannya.
Haijan: Setuju dengan saya bahawa Datuk tidak menyatakan kepada SPRM berkenaan peranan yang dimainkan oleh Gnanaraja berhubung Lim Guan Eng kerana pegawai SPRM tidak membenarkan Datuk berbuat demikian?
Zarul Ahmad: Bukan tidak benarkan, tapi dia (pegawai SPRM) kata ada siasatan khas lain.
Haijan: Datuk dikehendaki mendedahkan segala perkara yang diketahui kepada SPRM ketika siasatan kes Gnanaraja.
Zarul Ahmad: Memang saya dedahkan, tapi dia (pegawai SPRM) kata itu siasatan khas, jadi dia suruh jawab soalan spesifik yang dikemukakan.
Saksi pendakwaan ke-23 itu tidak bersetuju dengan Haijan bahawa kenyataan beliau di mahkamah mengenai penglibatan Guan Eng adalah sesuatu yang difikirkan semula kerana ia tidak dinyatakan dalam siasatan SPRM.
Zarul Ahmad memberi keterangan pada prosiding mencabar kredibiliti beliau pada perbicaraan kes rasuah Guan Eng berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu didakwa menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 2 Mei ini.-UTUSAN










