KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh ahli perniagaan, empat tahun lalu.
Tertuduh, V. Vadivelu, 39, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret M. Arunjothy.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Vadivelu bersama tiga lagi tertuduh, M. Hariadasan, 32; G. Sathorohgunosing, 36, dan M. Partibekumaran, 41, didakwa membunuh Goh Chok Chuan, 63, di parkir kereta berhampiran pondok pengawal Amarin Kiara, Mont Kiara pada pukul 11.40 malam, 11 Julai 2022.
Hariadasan, Sathorohgunosing dan Partibekumaran telah didakwa atas pertuduhan sama sebelum ini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, M. Alli Nangai manakala Vadivelu tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 8 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Empat tahun lalu, seorang ahli perniagaan ditembak mati berhampiran pondok pengawal selepas pulang bermain mahjung dari rumah rakannya di kawasan banglo berkenaan. – UTUSAN










