SHAH ALAM: Dua wanita sekeluarga termasuk seorang pempengaruh dan ahli perniagaan dipercayai mendera dua pembantu rumah warga Indonesia, ditahan polis dekat rumahnya di Kayangan Heights, di sini, kelmarin.
Penahanan tersebut dibuat ketika serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam terhadap sebuah rumah susulan maklumat berkaitan dua wanita berusia 48 dan 33 tahun menjadi mangsa pemegadagangan orang iaitu eksploitasi buruh paksa.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, mangsa mendedahkan sering dipukul dan tidak dibayar gaji sejak dua bulan lalu.
Hasil temubual dengan polis, mangsa pertama bekerja selama dua tahun sementara seorang lagi baru bekerja sebulan dengan majikan mereka. Mangsa juga mendedahkan telefon bimbit dan pasport mereka dirampas oleh majikan dan dipaksa bekerja lebih masa,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, susulan maklumat tersebut, polis menangkap dua wanita berusia lewat 50-an dan anaknya berusia 30-an iaitu majikan kepada kedua-dua mangsa yang diselamatkan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 13 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) yang membawa hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda.
“Permohonan reman kedua-dua tangkapan dibenarkan selama tiga hari bermula semalam hingga esok oleh Mahkamah Majistret Shah Alam.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Md. Anuar Md. Amilah @ Harun di talian 019-2255597,” ujarnya. – UTUSAN










