KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz, menzahirkan rasa gembira melihat kebahagiaan bekas isterinya, Bella Astillah, yang kini selamat mengikat tali pertunangan dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Aliff atau Mohamad Aliff Aziz, 35, berkata, beliau sentiasa mendoakan agar hubungan pasangan tersebut berkekalan hingga ke anak cucu.
“Alhamdulillah, saya tumpang gembira melihat mereka bahagia. Saya doakan semoga kebahagiaan itu berkekalan hingga ke anak cucu, insya-Allah.
“Saya juga berharap masyarakat dapat mendoakan yang baik-baik buat semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka iQIYI Raya di Andaman Grand Ballroom, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Sayang Sayang itu mengakui ada menonton beberapa rakaman majlis pertunangan berkenaan yang tular di media sosial, malah tidak dapat mengelak apabila klip video tersebut turut dikongsi orang ramai kepadanya.
“Saya ada nampak beberapa klip yang dihantar. Secara jujurnya, saya doakan yang terbaik. Ini bukan sekadar kata-kata, tetapi datang daripada hati yang ikhlas,” ujarnya.
Mengulas mengenai hubungan anak-anaknya, Mohamad Ayden, 9, dan Ara Adreanna, 6, dengan bakal bapa tiri mereka, Aliff percaya persekitaran yang sihat amat penting dalam proses pembesaran.
“Saya gembira melihat anak-anak semakin selesa dan boleh bercerita. Apapun, mereka sentiasa dalam doa saya.
“Buat Bella dan Saddiq yang baru bertunang, saya doakan agar hubungan ini berakhir di jenjang pelamin dan berkekalan hingga ke anak cucu,” katanya.
Sementara itu, menyentuh soal jodoh, Aliff mengakui belum terfikir untuk mencari pengganti dalam masa terdekat.
Menurutnya, fokus kini lebih terarah kepada usaha memperbaiki diri, kerjaya seni serta memberi perhatian kepada kesihatan fizikal dan mental.
“Buat masa ini, saya serahkan soal jodoh kepada Allah SWT. Ini bukan jawapan klise, tetapi saya sedar masih banyak perkara perlu diperbaiki untuk bangkit semula.
“Saya mahu memberi tumpuan kepada diri sendiri dan kerjaya terlebih dahulu. Saya hanyalah manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan, dan saya mohon maaf jika ada yang terguris dengan perkongsian saya sebelum ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Aliff turut menitipkan pesanan kepada orang ramai agar sentiasa mendoakan yang baik-baik berbanding melemparkan kecaman.
“Apabila kita mendoakan kebaikan untuk orang lain, malaikat juga akan mendoakan perkara yang sama buat kita. Jadi, saya sentiasa ingatkan diri untuk terus melangkah ke hadapan dengan cara yang lebih baik,” katanya.
Untuk rekod, Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu dalam satu majlis yang berlangsung di ibu negara.
Bella sebelum ini mendirikan rumah tangga bersama Aliff pada September 2016. Pasangan itu pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dan berpisah kali kedua pada Mac 2024.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden, 9, dan Ara, 6. – UTUSAN










