JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menggagalkan cubaan menyeludup 671,600 benih udang karang bernilai kira-kira RM13.4 juta ke Singapura melalui jalan laut di Tanjung Belungkor, Kota Tinggi, semalam.
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, pihaknya merampas benih udang berkenaan pada pukul 6.30 petang, hasil kerjasama Unit Risikan Marin Johor dan Jabatan Perikanan Negeri Johor.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pemeriksaan dibuat ke atas sebuah lori jenis Isuzu di sebuah jeti haram dan menemukan benih udang karang disimpan dalam kotak gabus putih.
“Pemeriksaan menemukan 125 kotak gabus putih mengandungi bungkusan plastik lutsinar berisi benih udang karang dianggarkan berjumlah kira-kira 671,600 ekor.
“Kesemua benih udang karang ini dipercayai untuk diseludup keluar ke Singapura melalui jalan laut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, tiga pekerja lelaki tempatan berusia 31 hingga 57 tahun ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran mengeksport yang sah.
Katanya, tangkapan dan barang rampasan termasuk lori dibawa ke pejabat Jabatan Perikanan Johor untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 40 Akta Perikatan 1985. – UTUSAN










