KUALA LUMPUR: Saham syarikat pengurusan sisa, 5E Resources Holdings Bhd. (5E Resources) melonjak hampir 10 peratus pada penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, selepas berjaya mengumpul dana sebanyak RM119 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO).
Saham syarikat yang berpangkalan di Pasir Gudang, Johor itu dibuka pada harga 28.5 sen, mencatatkan premium sebanyak 2.5 sen berbanding harga tawaran 26 sen sesaham.
Harga saham tersebut terus meningkat setinggi 30 sen dalam beberapa minit pertama sesi dagangan dengan hampir 93 juta saham bertukar tangan, sekali gus memberikan modal pasaran syarikat sekitar RM439 juta.
Pengerusi 5E Resources, Loo Sok Ching berkata, penyenaraian ini adalah tepat pada masanya memandangkan sektor pengurusan sisa terjadual merupakan industri kritikal yang menyokong pertumbuhan mampan pelbagai sektor pembuatan.
“Pengurusan sisa terjadual bukan satu pilihan, tetapi satu keperluan. Seiring dengan pertumbuhan industri, keperluan untuk pengurusan sisa yang selamat, patuh dan mampan juga semakin meningkat. Di sinilah 5E Resources memainkan peranan penting,” katanya pada majlis penyenaraian tersebut di sini hari ini.
Syarikat itu kini memegang lesen bagi 34 daripada 77 kategori sisa terjadual mengikut peraturan alam sekitar Malaysia, dengan kapasiti pemprosesan tahunan melebihi 280,000 tan.
Melalui dana IPO yang diperoleh, 5E Resources merancang untuk memperluas liputan lesen kepada sekurang-kurangnya 44 kategori sisa dan memperkenalkan proses kitar semula baharu termasuk pemulihan bateri kenderaan elektrik (EV) serta kitar semula panel solar.
Strategi pertumbuhan tersebut akan dipacu oleh pembinaan kemudahan baharu di Perak yang dijangka meningkatkan kapasiti tahunan keseluruhan kepada hampir satu juta tan.
Sebanyak 72 peratus daripada dana awam yang dikumpul akan diperuntukkan bagi pembinaan kemudahan tersebut serta pembelian jentera dan peralatan berkaitan.
Sebelum ini, IPO 5E Resources mencatatkan lebihan langganan sebanyak tujuh kali oleh pelabur awam sebelum disenaraikan.
TA Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi latihan IPO tersebut. –UTUSAN









