PETALING JAYA: Penyerang berpengalaman Brazil, Heberty Fernandes berpisah dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas membantu kelab itu menyapu bersih semua kejuaraan domestik sepanjang tiga musim bersama Harimau Selatan.
Pengumuman perpisahan pemain berusia 37 tahun itu dibuat di media sosial, sekali gus mengakhiri spekulasi mengenai masa depannya bersama juara Liga Super 12 kali berturut-turut itu.
Biarpun tempohnya bersama JDT hanya tiga tahun, Heberty menganggap perjalanan itu sebagai antara pengalaman paling berharga dalam karier profesionalnya yang merentasi beberapa negara Asia.
Bekas tonggak Cerezo Osaka dan Bangkok United itu mengakui JDT bukan sekadar sebuah kelab, sebaliknya sebuah keluarga yang banyak memberi makna dalam hidupnya.
“Selepas tiga tahun yang tidak dapat dilupakan, tiba masanya untuk saya mengucapkan selamat tinggal kepada kelab yang amat istimewa ini.
“Ia dipenuhi dengan pembelajaran, cabaran, pencapaian dan kejayaan yang akan sentiasa menjadi sebahagian daripada kisah hidup saya,” katanya.
Dalam masa sama, Heberty menzahirkan penghargaan khusus kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan sepanjang dia menyarung jersi Harimau Selatan.
Menurutnya, peluang mewakili JDT merupakan satu penghormatan besar dan akan sentiasa dikenang sebagai antara detik terbaik dalam kariernya.
Sepanjang berada di Stadium Sultan Ibrahim, Heberty menikmati era kegemilangan dengan merangkul pelbagai kejuaraan termasuk Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.
Meskipun bakal meninggalkan Johor, pemain kelahiran Brazil itu menegaskan dia membawa bersama kenangan manis, persahabatan erat serta rasa bangga pernah menjadi sebahagian daripada projek bola sepak paling berjaya di Malaysia.
Setakat ini, destinasi baharu Heberty masih belum diketahui, namun pengalaman luas yang dimilikinya dijangka terus menjadi rebutan mana-mana kelab yang mahu mendapatkan khidmatnya.-UTUSAN










