KANGAR: Titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail supaya Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah kekal sehingga habis penggal perlu diambil serius oleh kerajaan negeri dalam menterjemahkan pencapaian untuk Perlis dan kesejahteraan rakyat keseluruhan.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga perlu berhenti daripada berterusan berpolitik sehingga mencetuskan ketidakstabilan kerajaan negeri.
Dalam masa sama, Fathul Bari berkata, titah Raja Perlis itu juga tidak seharusnya dijadikan alasan untuk kerajaan negeri terus berada dalam zon selesa atau sekadar mempertahankan kedudukan politik semata-mata.
“Mesej utama daripada titah Raja Perlis sebenarnya sangat jelas. Apa yang paling utama pada pandangan baginda bukan soal kedudukan politik mana-mana individu, tetapi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Justeru, saya amat berharap Menteri Besar serta seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil serius titah tersebut dan menterjemah kepada tindakan serta pencapaian boleh dirasai oleh rakyat,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah agar Abu Bakar diberikan ruang untuk terus memimpin negeri ini sehingga ke akhir penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 tanpa sebarang kacau-ganggu yang merencatkan segala perancangan telah dirangka.
Baginda juga mengingatkan setiap ADUN untuk meletakkan keutamaan rakyat berbanding kepentingan peribadi.
Fathul Bari yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar berkata, disebalik soal kestabilan yang ditekankan oleh baginda, ia hendaklah digunakan untuk mempercepatkan agenda pembangunan negeri, menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan, memperkukuhkan ekonomi serta menyelesaikan pelbagai isu yang masih membelenggu rakyat Perlis.
“Titah Tuanku Raja Perlis bukan lesen untuk selesa, tetapi amanah untuk bekerja lebih kuat.”
“Rakyat akhirnya tidak akan menilai siapa yang menang atau siapa yang kekal berkuasa. Rakyat akan menilai sejauh mana kerajaan berjaya membawa pembangunan, kesejahteraan dan masa depan lebih baik untuk negeri Perlis.
“Kestabilan bukan matlamat akhir, kestabilan hanyalah alat untuk mencapai kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN










