PN ambil pengajaran titah Raja Perlis, utama rakyat dari bertelagah sesama sendiri - Utusan Malaysia

PN ambil pengajaran titah Raja Perlis, utama rakyat dari bertelagah sesama sendiri

ROZABIL ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail supaya Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah kekal sehingga habis penggal perlu dilihat daripada perspektif lebih luas iaitu bukan untuk menyelamat kedudukan politik tetapi demi pembangunan dan kemakmuran rakyat.

Justeru, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berharap agar titah Raja Perlis itu dijadikan pengajaran kepada mana-mana parti politik yang membentuk kerajaan agar lebih mengutamakan rakyat daripada berbalah sesama sendiri.

Katanya, baginda lebih mengutamakan pembangunan dan kemakmuran rakyat dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu memandang serius titah tersebut dan perlu bertanggungjawab memastikan kestabilan dikekalkan sehinga habis penggal.

“Daripada titah Raja Perlis itu, harapan saya agar ia dijadikan pengajaran kepada mana-mana parti yang dapat membentuk kerajaan supaya lebih mengutamakan rakyat yang memilih mereka bukan berbalah antara satu sama lain meskipun berada dalam gabungan yang sama,” katanya.

Terdahulu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah agar Abu Bakar diberikan ruang untuk terus memimpin negeri ini sehingga ke akhir penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 tanpa sebarang kacau-ganggu yang merencatkan segala perancangan telah dirangka.

Baginda juga mengingatkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk meletakkan keutamaan rakyat berbanding kepentingan peribadi.

Titah baginda, segala perbezaan pandangan dan pertelagahan perlu diselesaikan dengan penuh berhemah dan harmoni serta menegaskan kestabilan politik merupakan satu kriteria sangat penting yang akan memberi kesan kepada keyakinan pelabur melabur di negeri ini.

Sebelum itu, media melaporkan, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang berlangsung sehingga 5 Jun ini dijangka menarik perhatian sama ada akan berlaku usul undi tidak percaya enam wakil rakyat Pas terhadap Menteri Besar atau Abu Bakar membubarkan DUN jika usul menjatuhkan beliau diteruskan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN