PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen Syarikat Al Aisy Travel & Tour Sdn. Bhd berkuat kuasa 31 Mac lalu berhubung isu 36 jemaah umrah terkandas di Madinah, Arab Saudi.
Pesuruhjaya Pelancongan MOTAC memaklumkan, keputusan itu selaras Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] kerana didapati gagal membuat tempahan terlebih dahulu bagi kemudahan penginapan dan pengangkutan di Madinah seperti dalam jadual pakej umrah atau ziarah.
“Ini termasuk gagal mengikut jadual perjalanan pelancongan dan gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia 36 jemaah umrah itu.
“Tindakan Syarikat ini membuktikan bahawa syarikat gagal mematuhi apa-apa obligasi yang dikenakan ke atas syarikat dan melanggar syarat yang dikenakan di bawah lessen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, seramai 36 jemaah umrah termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda hidup seperti nomad apabila dikatakan terpaksa berpindah-randah hotel di Mekah dan Madinah beberapa kali, berikutan pihak agensi didakwa gagal membuat tempatan awal.
Bahkan, lima daripada jemaah itu yang sepatutnya kembali ke Malaysia 30 Disember, tidak dapat berbuat demikian berikutan tiket didakwa belum ditempah oleh pihak agensi, manakala baki yang lain pulang ke tanah air pada 3 Januari juga belum mendapat tiket tersebut.
Jelas Pesuruhjaya itu, keputusan itu sebagaimana yang diperuntukkan di bawah perenggan 8(1)(a) dan (b) Akta 482.
Selain itu, syarikat tersebut didapati menjalankan perniagaannya mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara sebagaimana diperuntukkan di bawah perenggan 8(1)(d) Akta 482.
“Keadaan ini telah menimbulkan risiko keselamatan, tekanan kewangan serta gangguan perjalanan ibadah terhadap jemaah umrah, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti dan integriti syarikat.
“Ia telah merosakkan keyakinan awam terhadap industri pelancongan secara keseluruhan,” katanya.
MOTAC tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat. – UTUSAN










