PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berdepan pelbagai kelemahan membabitkan tadbir urus, akauntabiliti dan pengurusan organisasi berdasarkan audit yang dijalankan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Dapatan itu dibentangkan kepada perwakilan pada Kongres Luar Biasa FAM oleh Timbalan Setiausaha Agung AFC Vahid Kardany hari ini.
Menerusi perbentangan itu, badan induk bola sepak negara itu disifatkan mengalami masalah yang bukan berpunca daripada satu jabatan tertentu, sebaliknya kegagalan yang berulang merentasi hampir keseluruhan struktur organisasi.
Laporan berkenaan menyatakan kelemahan FAM bersifat sistemik dengan isu tadbir urus, akauntabiliti dan reka bentuk institusi yang menjejaskan keberkesanan operasi persatuan.
Penilaian AFC menunjukkan kebanyakan jabatan dalam FAM hanya berada pada Tahap 2 atau Pra Pertengahan dengan markah antara 1.2 hingga 1.8 daripada skala lima tahap kematangan organisasi.
Antara bahagian yang dinilai termasuk Tadbir Urus dan Perundangan, Pentadbiran dan Logistik, Kewangan dan
Pengurusan Risiko, Infrastruktur dan Fasiliti, serta Pertandingan, Kelab dan Pengurusan Acara.
Hanya bahagian Komunikasi dan Media mencapai Tahap 3 dengan skor 2.0, sekali gus menjadi satu-satunya unit yang melepasi kelompok skor jabatan lain.-UTUSAN










