PRN Johor: BN pertaruh lebih ramai muka baharu - Ahmad Zahid

BN pertaruh lebih ramai muka baharu di Johor

AHMAD Zahid Hamidi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan lebih ramai muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini sebagai sebahagian usaha menyuntik nafas baharu dalam landskap kepimpinan negeri itu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemilihan calon bagi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berada pada peringkat akhir.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, senarai muktamad calon BN bagi PRN Johor akan diumumkan seminggu sebelum hari penamaan.

“Kita akan umumkan nama calon itu seminggu sebelum hari penamaan calon nanti,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.

Katanya, BN akan memastikan gabungan pemimpin sedia ada dan bakat baharu yang diketengahkan nanti mampu memperkukuh jentera parti serta meningkatkan keyakinan pengundi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, pemilihan calon akan tetap berpandukan formula dan ciri berpotensi menang (winnable), disenangi rakyat (likeable) dan diterima oleh pengundi (acceptable).

“Kita dalam perjalanan untuk mengukuhkan jentera sedia ada dan mobilisasi jentera parti dari negeri-negeri lain untuk membantu kempen di Johor nanti,” katanya.

Difahamkan, Ahmad Zahid dijangka melancarkan jentera BN bagi PRN Johor, Ahad ini.

Isnin lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan DUN Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN Johor Ke-16.

Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran DUN untuk mengadakan PRN.

Pada PRN Johor Ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN