BANGI: Sebanyak 22 kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang membawa 186 sukarelawan dari seluruh dunia ke Gaza telah ditahan dan diculik tentera Israel, awal pagi tadi.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, enam daripada kapal yang diceroboh di perairan antarabangsa berhampiran Greece itu melibatkan 10 rakyat Malaysia.
Katanya, kedudukan misi ketika intimidasi berlaku adalah kira-kira 656 batu nautika dari Pantai Gaza iaitu di zon pelayaran antarabangsa yang sah dan dijamin sepenuhnya di bawah Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS).
“Pada pukul 1 pagi sehingga 11 pagi waktu Malaysia (bersamaan pukul 6 petang sehingga 4 pagi waktu Greece), kapal GSF 2.0 telah dihampiri secara agresif oleh kapal tentera Israel sewaktu berada di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece.
“Antara rakyat Malaysia ditahan termasuk wartawan veteran yang juga aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad atau dikenali sebagai ZRA yang menaiki kapal Arkham lll, Osman Zolkifli dan Dr. Jihan Alya Mohd. Nordin (Eros 1), Mohd. Shamsir Mohd. Isa (Esplai) dan Hazwan Hazim.
“Selain itu, Mohd. Hanafi Mohd. Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab. Ghani (Bianca BCN); Mohd Redzal Amzah (Freia) serta Muhamad Muhzin Zaidi (Marea) turut ditahan awal pagi tadi,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di sini hari ini.
Sani Araby berkata, Israel telah melakukan provokasi dengan melepaskan tembakan amaran ke arah kapal delegasi, selain melakukan gangguan frekuensi radio mengancam aktivis kemanusiaan yang tidak bersenjata.
Katanya, puluhan dron digunakan bagi tujuan pemantauan serta mengganggu pergerakan dan komunikasi misi.
“Kehadiran puluhan buah dron tidak dikenalpasti yang dikesan beroperasi di sekitar kawasan flotilla semasa insiden berlangsung, dipercayai melakukan pemantauan dan gangguan terhadap pergerakan serta komunikasi flotilla.
“Rakaman audio dan visual yang diperoleh SNCC membuktikan Israel menggunakan naratif palsu bagi menjustifikasikan serangan amaran tersebut sedangkan baki flotilla misi kekal berlayar di koridor perairan antarabangsa tanpa melanggar sebarang protokol maritim,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai untuk bersatu hati dan segera melaksanakan solat hajat serta doa Qunut Nazilah bagi memohon perlindungan serta keselamatan buat seluruh delegasi misi GSF 2.0, khususnya rakyat Malaysia yang ditahan dan terputus hubungan.
Katanya, penjejakan langsung pergerakan GSF 2.0 boleh dilayari melalui Tracker: sntracker.sumudnusantara.com bagi membolehkan pemantauan masa nyata terhadap kedudukan serta perkembangan semasa flotilla.
“Pihak SNCC sekali lagi menegaskan agar semua pihak merujuk pusat ini sebagai sumber sahih bagi membendung penyebaran propaganda salah yang sengaja dicetuskan oleh pihak lawan,” katanya. – UTUSAN










