IPOH: Sebanyak 163 kes buli berlaku di sekolah di negeri ini sepanjang tahun lalu dengan kes terbanyak dicatatkan di dalam kawasan sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, sebanyak 136 kes buli berlaku dalam kawasan sekolah, 22 kes di kawasan asrama dan lima kes di luar sekolah.
Menurutnya, daerah yang paling tinggi kes buli negeri Perak tahun 2025 adalah daerah ataupun Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara iaitu sebanyak 40 kes yang melibatkan 39 kes kawasan sekolah, dua kes di asrama dan satu kes di luar sekolah.
“Bagi tahun 2026 sehingga 28 Februari 2026, terdapat 24 kes yang berlaku di mana 18 berlaku dalam kawasan sekolah, empat di kawasan asrama dan dua di luar sekolah.
“Daerah ataupun PPD yang tinggi setakat 28 Februari ini adalah PPD Manjung iaitu enam kes di kawasan sekolah dan tiga di kawasan asrama,” katanya ketika menjawab soalan lisan Chaw Kan Foon (DAP-Menglembu) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius isu buli yang berlaku di institusi pendidikan dan amat komited melaksanakan pendekatan yang menyeluruh merangkumi aspek pencegahan.
Beliau berkata, kerajaan negeri perlu memastikan sekolah dan institusi pendidikan ini merupakan ruang dan tempat yang selamat untuk menuntut ilmu.
Katanya, oleh yang demikian, kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perak mengambil langkah pencegahan dan juga penguatkuasaan bagi memastikan isu buli ini dicegah dan juga dikawal.
“Antara langkah dan inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan adalah seperti bengkel pemerkasaan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Murid Negeri Perak yang telah dilaksanakan pada awal Mac 2026.
“Pengisian ataupun tujuan bengkel ini adalah untuk memperkukuhkan kompetensi penolong kanan hal ehwal murid dalam mengurus isu-isu kritikal melibatkan murid khususnya kes buli dan juga kes berkaitan keselamatan seksual.
“Bengkel ini turut memberi fokus kepada pemahaman prosedur pentadbiran, mekanisme intervensi serta tindakan respon yang tepat dalam mengendalikan kes,” katanya. – UTUSAN









