Ahli Parlimen Bukit Gantang mungkin tanding bebas PRU16 - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen Bukit Gantang mungkin tanding bebas PRU16

SYED Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal beramah mesra bersama mahasiswa pada program di Pusat Khidmat beliau di Bukit Gantang hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal memberi bayangan mungkin bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya landskap politik semasa terus tidak menentu.

Bekas Ahli Parlimen Bersatu itu berkata, begitupun keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas menilai keadaan politik semasa yang disifatkan beliau masih bercelaru dan belum stabil.

Beliau menegaskan, ketika ini fokus utamanya adalah memperkukuhkan sokongan akar umbi dan hubungan terus dengan rakyat di kawasan Parlimen berkenaan.

“Saya yakin dengan kekuatan peribadi serta rekod khidmat kepada rakyat. Saya tak mahu menumpang parti kawan-kawan. Saya nak parti tumpang dengan saya.

“Landskap politik semasa menyaksikan tiada lagi parti yang boleh mendakwa kemenangan hanya bergantung kepada jenama semata-mata,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas  sama ada akan bertanding atas tiket mana-mana parti atau sebagai calon Bebas pada PRU16.

Menurutnya, kekuatan sebenar seseorang calon tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada parti, sebaliknya kepada khidmat dan penerimaan rakyat.

Katanya, politik sekarang ini tidak boleh buat keputusan cepat kerana keadaan belum menentu.

“Pengundi kini lebih matang dan menilai berdasarkan prestasi serta keberkesanan wakil rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau turut bercadang untuk meletakkan calon-calon pilihannya sendiri di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Bukit Gantang pada PRU16.

Tiga DUN berkenaan ialah DUN Trong, DUN Changkat Jering dan DUN Kuala Sepetang yang disifatkan sebagai kawasan strategik dalam menentukan kekuatan politik setempat.

“Kali ini saya mahu ada pasukan sendiri. Orang saya mesti ada di ketiga-tiga DUN ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN