JOHOR BAHRU: Kerajaan akan memastikan aktiviti ekonomi negara terus rancak beroperasi bagi mengekalkan pekerjaan rakyat terutamanya ketika berdepan tempoh krisis ekonomi susulan gangguan rantaian bekalan bahan bakar global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir sehubungan itu berkata, keutamaan pihaknya ketika ini adalah untuk memastikan bekalan bahan bakar global mencukupi untuk kegunaan industri.
Katanya, setakat ini bekalan bahan api negara dijamin mencukupi sehingga akhir Julai.
“Fokus kerajaan adalah memastikan ekonomi terus bergerak supaya peluang pekerjaan dapat dikekalkan. Dalam dua hingga tiga bulan pertama krisis, isu utama yang perlu ditangani ialah berkaitan bekalan.
“Sebab itu kerajaan ambil langkah memastikan bekalan minyak negara mencukupi selaras dengan jaminan bahawa bekalan minyak negara mencukupi sehingga penghujung Julai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Korban Perdana Aidiladha Parlimen Johor Bahru di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, di sini hari ini.
Akmal Nasrullah turut memberitahu, terdapat beberapa petunjuk positif berhubung bekalan bahan api apabila harga minyak Brent mencatat penurunan minggu lalu dan kekal di bawah paras AS$90 setong, manakala harga minyak spot berada di bawah AS$100 setong.
“Ini menunjukkan apa yang berlaku dalam tempoh seminggu lalu memberi kesan positif kepada pergerakan harga minyak. Walaupun dijangka ada sedikit lagi penurunan harga minyak minggu ini, keadaan masih lagi tidak menentu,” katanya.
Tambah Ahli Parlimen Johor Bahru itu, kerajaan telah mengumumkan beberapa langkah perlindungan pekerja sempena sambutan Hari Pekerja khususnya buat yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh krisis ini.
“Ini termasuk penyediaan peruntukan di bawah Skim Perlindungan Insurans Pekerja (SIP) bagi membantu pekerja yang terjejas sekiranya kesan krisis mula dirasai,” katanya.
Berhubung program, Akmal Nasrullah memberitahu Pejabat Parlimen Johor Bahru menyumbangkan RM100,000 untuk kegunaan pihak masjid dalam melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan.










