PUTRAJAYA: Program Tuition Mission Putrajaya (TMP 2026) bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mendapatkan akses kelas tambahan berkualiti secara percuma, diteruskan pada tahun ini dengan sasaran penyertaan seramai 150 pelajar daripada sembilan buah sekolah menengah harian di sini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, seramai 20 guru berpengalaman dilantik sebagai tenaga pengajar dan pembimbing yang turut menyediakan modul pembelajaran khusus untuk kegunaan pelajar sepanjang program berkenaan.
Menurutnya, pelajar akan mengikuti kelas bagi empat subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah secara fizikal di Kompleks Kejiranan Presint 16, pada setiap Selasa dan Khamis bermula 5 Mei hingga 18 Oktober.
“TMP 2026 menyediakan kelas tambahan berkualiti khususnya dalam subjek teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.
“Berdasarkan keputusan SPM 2025 yang diumumkan baru-baru ini, inisiatif TMP sekali lagi menunjukkan impak positif apabila empat pelajar memperoleh keputusan 9A dan seorang pelajar memperoleh 8A.
“Kesemua peserta TMP 2025 layak menerima sijil SPM. Jumlah gred cemerlang (A+, A dan A-) pula meningkat 23 peratus kepada 161 calon berbanding 138 calon pada SPM 2024. Manakala kadar kelulusan keseluruhan turut meningkat sebanyak 8.3 peratus,” katanya ketika merasmikan Program Jati Diri Tuition Mission Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak RM150,000 diperuntukkan bagi program yang dianjurkan setiap tahun oleh PPj itu dengan sokongan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan kerjasama strategik daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Jelasnya, dalam usaha memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus pendidikan akibat kekangan kewangan, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan pencapaian akademik pelajar, malah selari dengan aspirasi Malaysia Madani dalam memperkasa kesejahteraan rakyat serta memastikan akses pendidikan yang inklusif dan saksama untuk semua.
“Melalui pendekatan berfokus, TMP 2026 menyasarkan pencapaian 100 peratus lulus dalam peperiksaan SPM di kalangan peserta. Program ini akan memastikan setiap pelajar mencapai gred A atau sekurang-kurangnya gred C bagi semua subjek yang diambil.
“Pengisian TMP 2026 juga merangkumi Program Kembara Ilmu, kelas tuisyen mingguan, lawatan ke universiti tempatan dan program pecutan akhir SPM. Selain itu, program baharu pembelajaran luar kelas juga akan diperkenalkan,” ujarnya. – UTUSAN










