DUN Kelantan: Pengurusan HSK dibuat secara terancang, ikut undang-undang

DUN Kelantan: Pengurusan HSK dibuat secara terancang, ikut undang-undang

MOHAMED Fadzli Hassan (kanan) berucap semasa Sidang DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - FOTO: Facebook Mohamed Fadzli Hassan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pengurusan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di Kelantan, termasuk di Nenggiri, Gua Musang, dibuat secara terancang, berlandaskan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan alam sekitar termasuk masyarakat Orang Asli.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, projek pembangunan Ladang Hutan seluas 189,766.60 hektar yang diluluskan itu berlandaskan kepada pematuhan oleh Majlis Tanah Negara.

Menurutnya, pelaksanaan projek itu adalah di dalam zon yang telah dikenal pasti serta selari dengan Dasar Perhutanan Negara dan Pelan Strategik Industri Perkayuan dengan penekanan kepada kelestarian sumber.

“Isu dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri (Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani-BN) adalah kurang tepat kerana mengaitkan pengusahasilan kayu secara umum dengan keseluruhan kawasan pembangunan.

“Pengusahasilan kayu di bawah Catuan Tebangan Tahunan (CTT) hanya melibatkan kawasan tertentu yang ditetapkan setiap tahun dan dikawal ketat mengikut pelan pengurusan hutan,” katanya semasa sesi Penggulungan Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohamed Fadzli memberitahu, keluasan dirujuk tidak boleh disamakan secara langsung dengan kawasan sebenar pengusahasilan kayu kerana kawasan pembangunan Hutan Simpan (HS) Nenggiri.

Katanya, ia merangkumi komponen lebih luas seperti Ladang Hutan, utiliti, empangan dan lombong yang tidak semuanya melibatkan aktiviti pembalakan semasa.

“Kesemua aktiviti dilaksanakan dalam kawasan HS Negeri Kelantan termasuk HS Nenggiri adalah secara terkawal, berfasa dan tertakluk kepada peraturan serta pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa.

“Sehingga kini, pembangunan Ladang Hutan telah dilaksanakan meliputi 136,923.93 hektar di tiga jajahan hutan dengan kadar penubuhan 60 peratus. Baki 40 peratus sedang dilaksanakan dengan pematuhan sepenuhnya kepada syarat Penilaian Impak Alam Sekitar,” ujarnya.

ADUN Temangan itu berkata, sehingga 2025, sebanyak 81,929 hektar atau 60 peratus Ladang Hutan berjaya ditubuhkan dan pelaksanaannya turut melalui semakan serta kerjasama Jabatan Audit Negara.

Katanya, pembangunan Ladang Hutan bukan sahaja menyumbang kepada hasil negeri secara mampan, malah memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat termasuk masyarakat Orang Asli melalui peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan pembangunan infrastruktur lebih tersusun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN