KOTA TINGGI: Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan ditahan sebaik sahaja mendarat secara haram di Sungai Rengit, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, operasi tersebut dijalankan antara pukul 11.45 malam hingga 4 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dan anggota Tentera Rejimen Ke-10 Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Majidee.
“Seramai 10 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia ditahan, dengan pemeriksaan lanjut mendapati mereka semua gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.
“Polis turut memberkas dua lagi lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan di dua lokasi berasingan dipercayai bertindak sebagai dalang membantu kemasukan migran,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Yusof, mereka yang ditahan berusia antara 36 hingga 38 tahun dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut bersama barangan rampasan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – UTUSAN










