Wang RM2.8juta bukan suapan

Wang RM2.8juta bukan suapan

ZIZIE Izette Abdul Samad, hadir di Mahkamah Sesyen bagi prosiding membela diri terhadap tuduhan bersubahat dalam kes rasuah, semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad memberitahu Mahkamah Sesyen di sini semalam bahawa wang RM2.8 juta yang diterima­nya merupakan bayaran pengenalan yang diberikan secara sukarela, bukannya suapan.

Zizie Izette, 48, berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan bela dirinya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Menurutnya, sebelum menerima wang tersebut, beliau terlebih dahulu mendapatkan penjelasan mengenai sumber wang berke­naan daripada ejen pelaburan, Norhaili Ahmad Moktar.

“Sebelum saya terima, saya sudah bertanya berkali-kali dari mana dan bagaimana wang itu diperoleh. Selepas mempertimbangkan semuanya, saya tidak menolak,” katanya.

Pendakwaan kemudian men­cadangkan kenyataan itu me­rupa­kan kali pertama beliau menyatakan di mahkamah tidak menolak pemberian wang daripada ejen pelaburan Norhaili Ahmad Moktar.

Zizie Izette berkata, beliau hanya menerima wang berkenaan selepas diyakinkan oleh Norhaili.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan bahawa wang tersebut merupakan suapan dan bukannya bayaran pengenalan.

Mengenai hubungannya de­ngan Norhaili, Zizie Izette berkata individu itu merupakan rakan dan penasihat kewangannya.

Menjawab soalan pendakwaan mengenai keperluan bayaran pengenalan untuk memperkenalkan rakan kepada suaminya, Zizie Izette berkata, beliau tidak pernah meminta wang tersebut.

“Saya minta maaf… itu kena tanya Elly (Norhaili). Dia yang beri kepada saya, saya tidak pernah minta,” katanya.

Terdahulu dalam pernyataan saksinya, Zizie Izette memberi­tahu bahawa Norhaili memaklumkan kepadanya bahawa Felcra Bhd. telah melabur dalam produk unit amanah Public Mutual.

Norhaili bersama seorang lagi ejen pelaburan, Mahdi Abdul Hamid, bercadang memberi wang pengenalan kira-kira RM2 juta sebagai tanda penghargaan kerana memperkenalkan mereka kepada Felcra Bhd.

“Saya terkejut dan memberitahu bahawa saya tidak melakukan apa-apa dan Elly menjelaskan ia merupakan amalan biasa dalam agensinya dan strategi pemasaran bagi menghargai bantuan dalam jaringan sosial,” katanya.

Zizie Izette menegaskan tidak pernah terbabit dalam persubahatan menerima wang RM2.8 juta berkaitan pelaburan RM150 juta Felcra Bhd. dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau juga menafikan pernah membantu arwah suaminya menerima sebarang wang daripada Norhaili atau Mahdi.

“Saya tidak pernah membantu suami menerima sebarang wang daripada Madhi atau Elly termasuk RM2.2 juta tunai serta RM262,500 dalam Akaun Public Islamic Treasures Growth Fund dan RM337,500 dalam Akaun Public Ittikal Sequel Fund saya.

“Saya juga tidak pernah secara langsung atau tidak langsung bersubahat, mendorong atau menggalakkan suami saya mendapatkan kelulusan Felcra Bhd. atau Kementerian Kewangan II bagi pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual,” katanya.

Pada prosiding semalam, pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan Mohd. Fadhly Mohd. Zamry, manakala Zizie Izette diwakili peguam bela, K. Kumaraendran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN