PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli berkata, siasatan berkaitan dakwaan ‘mafia korporat’ berpotensi menjadi isu besar sekiranya kerajaan hanya menumpukan kepada seorang ahli perniagaan, Victor Chin Boon Long semata-mata.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau percaya Victor Chin berkemungkinan menyimpan rekod lengkap semua urusan perniagaannya, sama sebagaimana dilakukan Albert Tei dalam skandal perlombongan di Sabah.
Malah Rafizi berkata, terdapat kecenderungan untuk menjadikan Victor Chin sebagai ‘kambing hitam’ dalam keseluruhan skandal tersebut.
“Saya nak ingatka, kalau saya di Putrajaya, termasuk pihak di sekeliling Perdana Menteri dan agensi penguatkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), perlu berhati-hati.
“Besar kemungkinan Victor Chin ini menyimpan semua bukti berkaitan,” katanya dalam satu podcast malam tadi.
Pada bulan lalu, Bloomberg melaporkan bahawa Victor Chin merupakan sebahagian daripada rangkaian ahli perniagaan yang didakwa bekerjasama dengan SPRM untuk mengatur pengambilalihan syarikat pesaing.
Laporan itu turut memperincikan taktik kumpulan terbabit yang didakwa menyasarkan sesebuah syarikat sebelum membuat aduan kepada SPRM, sebagai langkah untuk melemahkan dan seterusnya mengambil alih syarikat berkenaan.
Sementara itu Mohd. Rafizi dalam masa yang sama berkata, seorang penasihat korporat seperti Chin hanyalah sebahagian daripada ‘ekosistem’ lebih besar, namun pendekatan pihak berkuasa seolah-olah menggambarkan keseluruhan skandal hanya melibatkan individu tersebut.- UTUSAN










