Undang-undang sedia ada masih gagal kekang pemandu mabuk

Undang-undang sedia ada masih gagal kekang pemandu mabuk

WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hukuman sedia ada terhadap pemandu mabuk masih gagal memberi kesan pencegahan mencukupi apabila kemalangan terus berlaku sehingga meragut nyawa orang tidak bersalah.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, situasi itu menunjukkan pendekatan undang-undang ketika ini tidak lagi memadai bagi menangani isu pemanduan mabuk yang semakin membimbangkan.

Katanya, kerajaan justeru itu mengkaji pelaksanaan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

“Sehubungan itu, blok pembangkang mendesak kerajaan agar mengambil langkah lebih tegas dengan mengkaji pelaksanaan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

“Ini bukan soal menghukum semata-mata, tetapi sebagai satu mesej jelas bahawa nyawa manusia tidak boleh dipandang ringan dan sebarang tindakan yang membahayakan orang lain akan berdepan akibat paling berat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Jalan Raya Barat, Klang.

Akibat pelanggaran itu, mangsa yang juga lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an tercampak sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Wan Ahmad Fayhsal turut menyifatkan tragedi berkenaan sebagai satu kecuaian serius yang wajar dilihat sebagai jenayah berat.

“Apabila seseorang berada di bawah pengaruh alkohol tetapi tetap memilih untuk memandu, undang-undang sewajarnya menganggap bahawa dia mempunyai niat untuk membunuh.

“Nyawa yang hilang tidak dapat diganti. Sudah tiba masanya tindakan lebih drastik diambil demi melindungi keselamatan rakyat dan memastikan keadilan ditegakkan,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN