PETALING JAYA: Satu surat dikeluarkan kepada kumpulan yang menamakan diri sebagai ‘Liga Mahasiswa Universiti Malaya’, selepas Universiti Malaya (UM) menerima aduan daripada pelajar dan orang awam bahawa penggunaan nama sedemikian berpotensi menjejaskan imej dan reputasi universiti.
Langkah itu diambil susulan tindakan kumpulan itu yang mengadakan sidang akhbar dengan mengeluarkan beberapa kenyataan menggunakan nama UM.
UM dalam kenyataan berkata, surat itu merupakan sebahagian proses pengurusan identiti korporat universiti bagi memastikan penggunaan nama dan identiti mematuhi peraturan serta garis panduan ditetapkan.
“Langkah ini diambil bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan orang awam berhubung status sesuatu pertubuhan atau gerakan yang menggunakan nama universiti,” katanya hari ini.
UM menegaskan bahawa mereka menghormati kebebasan mahasiswa untuk menyuarakan pandangan serta terlibat dalam perbincangan isu semasa secara bertanggungjawab.
Katanya, bagaimanapun, penggunaan nama serta identiti universiti perlu mematuhi peraturan sedia ada dan tidak seharusnya memberi gambaran bahawa sesuatu kumpulan itu mewakili pendirian rasmi UM.
Sidang akhbar itu menyentuh beberapa isu berkaitan mahasiswa dan dasar awam sehingga mencetuskan perhatian dalam kalangan warga kampus serta pemerhati pendidikan tinggi. – UTUSAN










