Tempahan hotel Hat Yai meningkat 80 peratus

Tempahan hotel Hat Yai meningkat 80 peratus

SITTHIPONG SITTHIPHATARAPRABHA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Industri pelancongan di Hat Yai yang lumpuh ekoran banjir tahun lepas semakin pulih apabila hotel di bandar itu menerima lebih 80 peratus tempahan ketika cuti musim perayaan sempena Hari Raya Aidilfitri lepas.

Presiden Persatuan Hotel Hatyai-Songkhla, Sitthipong Sitthiphataraprabha berkata, perkembangan itu memberangsangkan memandangkan sektor pelancongan di kawasan tersebut dilihat pulih lebih awal daripada yang dijangkakan sebelum ini.

“Tempahan hotel daripada pelancong ketika cuti Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini mencecah 80 peratus berbanding sebelum ini cuma sekitar 60 peratus iaitu pada Tahun Baharu Cina.

“Ini menunjukkan per­kem­bangan yang sangat baik untuk Hat Yai yang sebelum ini dijangka hanya akan pulih sepenuhnya pada pertengahan tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 22 November tahun lalu, beberapa kawasan tumpuan rakyat Malaysia di bandar Hat Yai, dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan yang melanda wilayah Songkhla dua hari sebelum itu.

Antara lokasi yang terkesan adalah kawasan sekitar Kim Yong Market, Lee Garden Plaza, serta jajaran jalan utama menuju ke Central Hat Yai yang sering menjadi persinggahan pelancong dari Malaysia.

Tambah Sitthipong, pelbagai perancangan dilakukan pihak kerajaan Thailand bagi memulihkan semula sektor pelancongan di Selatan negara itu khususnya Hat Yai.

“Boleh diandaikan keadaan di Hat Yai kini lebih baik daripada selepas banjir besar melanda Thailand dahulu,” katanya. – utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN