Tak mengaku beri suapan RM53,000 kepada kakitangan TNB

Lelaki tidak mengaku beri suapan RM53,000 kepada kakitangan TNB

TIANG Soon Ying didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas dua pertuduhan iaitu memberi rasuah sebanyak RM53,000 kepada TNB pada 2021.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang lelaki mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan iaitu memberi suapan berbentuk wang tunai sebanyak RM53,000 kepada seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), kira-kira lima tahun yang lalu.

Tertuduh, Tiang Soon Ying, 40, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah telah memberi suapan wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM43,000 kepada Mohd Ashraf Mohd Yunus, 42, yang bertindak bagi pihak TNB sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa premis di sekitar Manjung dan Setiawan, Perak.

Perbuatan itu dilakukan berikutan premis-premis terbabit disyaki terlibat dengan kesalahan di bawah Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) kerana mengganggu, mengambil serta menggunakan elektrik termasuk merosakkan pepasangan milik TNB.

Kedua-dua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di Bilik Nombor 716 Hotel Bayview dalam daerah George Town di sini, pada 5 Januari 2021, jam 3.30 petang dan 15 September 2021, jam 10.30 malam.

Atas kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun, didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa dari SPRM Perak, Sharul Aznan Ghazali dan Mohd Afiq Mohd Adnan manakala tertuduh diwakili peguam Hong Chong Hang.

Zulhazmi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-pertuduhan selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak dan meminta tertuduh untuk mengikut syarat tambahan yang ditetapkan iaitu melapor diri ke pejabat SPRM terdekat sekali dalam setiap bulan.

Pada masa yang sama, beliau turut memerintahkan supaya kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh di Perak agar sebutan semula yang ditetapkan pada 18 Mac depan bagi kedua-dua pertuduhan itu dapat berjalan serentak dengan pertuduhan berkaitan yang dihadapi oleh tertuduh di mahkamah tersebut sebelum ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN