BUTTERWORTH : Seorang lelaki warga Myanmar dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyeleweng lebih 5,000 liter diesel, April lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh, Nai Thet Naung, 38, membuat pengakuan tersebut selepas kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Myanmar di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, dia didapati menyimpan barang kawalan iaitu diesel sebanyak 5,808 liter di dalam sebuah stor tidak bernombor di Mukim 16, Lorong Perusahaan Sungai Lokan, Butterworth pada pukul 4.30 petang, 15 April lalu tanpa kebenaran pengawal bekalan.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah seksyen 22(1) akta yang sama.
Sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebih RM1 juta atau dipenjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya, hukuman denda tidak lebih RM3 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeya Darrsini dengan dibantu Pegawai Pendakwa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd. Hilmi Abu Hassan.
Selain memerintahkan agar tertuduh dipenjara selama enam bulan dari tarikh dia tangkap, mahkamah turut mengarahkan supaya semua hasil yang diperolehi itu dilucuthak kepada kerajaan.-UTUSAN










