Peniaga, warga Bangladesh mengaku terlibat urusan jual beli minyak masak peket

Peniaga, warga Bangladesh mengaku terlibat urusan jual beli minyak masak peket

MD. Roshidul Malitha (dua dari kiri) dan Muhammad Anwar Karthiban (dua dari kanan) diiringi penguat kuasa KPDN Pulau Pinang ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas pertuduhan terlibat dengan urus niaga jual beli minyak masak peket bersubsidi satu kg, minggu lepas.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang peniaga tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjual minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg) kepada seorang warga asing, minggu lepas.

Tertuduh, Muhammad Anwar Karthiban, 30, bagaimanapun mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjual barang kawalan iaitu minyak masak dalam bungkusan polibeg seberat satu kg kepada seorang warga asing di sebuah premis di Lingkaran Cassia Barat, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan kira-kira pukul 5.40 petang pada 19 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 2(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Minyak Masak) 2026 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 21 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah yang sama, seorang warga Bangladesh, Md. Roshidul Malitha, 44, turut mengaku bersalah atas pertuduhan membeli minyak masak bersubsidi itu yang sepatutnya tidak boleh dijual kepada bukan warganegara kira-kira pukul 5 petang pada tarikh dan lokasi yang sama.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Minyak Masak) 2026 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, hukuman boleh ditingkatkan kepada denda sehingga RM2 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah seterusnya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) setiap bulan.

Pada masa yang sama, sebutan kes juga ditetapkan pada 21 Ogos depan sementara menunggu laporan kimia.

Kedua-dua kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDN, Alsad Nasrullah, manakala kedua-dua tertuduh pula tidak diwakili peguam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN