SEREMBAN: Negeri Sembilan mencatat Gred Purata Negeri (GPN) 4.16 dengan peningkatan sebanyak 0.02 mata bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025
Prestasi itu juga sekali gus melepasi Gred Purata Kebangsaan 4.42.
Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Khalida Omar berkata, seramai 754 orang calon juga memperoleh keputusan cemerlang semua A.
Menurutnya, daripada jumlah itu 22 orang pelajar pula memperoleh keputusan semua A+.
“Calon sekolah KPM di Negeri Sembilan yang layak dianugerahkan sijil SPM tahun 2025 adalah seramai 14,001 (94.43%) orang berbanding dengan 13,713 (94.43%) orang pada SPM tahun 2024.
“Walaupun peratusannya sama, bilangan calon yang dianugerahkan sijil ini menunjukkan peningkatan seramai 288 orang,” katanya pada akhbar pengumuman analisis keputusan SPM 2025 Negeri Sembilan di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Seramai 17,384 pelajar menduduki peperiksaan SPM 2025 di 145 pusat peperiksaan yang dibuka di seluruh negeri bermula 3 November hingga 23 Disember lalu.
Khalida berkata, turut berlakunya pertambahan calon iaitu seramai 457 orang calon yang mendaftar menduduki peperiksaan SPM di negeri ini. – UTUSAN










