SOP ketat jamin keselamatan anggota MALBATT di Lubnan - Utusan Malaysia

SOP ketat jamin keselamatan anggota MALBATT di Lubnan

ADLY Zahari menyampaikan sumbangan kepada pengamal media pada majlis iftar bersama pekerja pembersihan dan pengamal media di Dewan Kompleks Japerun Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Prosedur operasi standard (SOP) yang ketat memastikan keselamatan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang kini bertugas dalam misi pengaman di Lubnan, walaupun negara itu sedang berdepan konflik.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, setakat ini kesemua 500 anggota MALBATT dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sentiasa mematuhi SOP keselamatan yang ditetapkan sepanjang melaksanakan penugasan di negara berkenaan.

Menurutnya, walaupun situasi di selatan Lubnan kini semakin tegang akibat konflik yang berlaku, anggota MALBATT tetap menjalankan tugas dengan pemantauan keselamatan yang rapi.

“Walaupun kita sedia maklum keadaan di selatan Lubnan dan juga di negara itu kini berada dalam situasi konflik, namun setakat laporan semasa yang kita terima, anggota MALBATT berada dalam keadaan selamat.

“Kementerian mempunyai SOP keselamatan yang ketat bagi memastikan anggota kita tidak terlibat dalam peperangan kerana peranan mereka adalah melaksanakan misi pengaman,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis iftar bersama pekerja pembersihan dan pengamal media di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal di sini, semalam.

Adly berkata, penugasan utama anggota MALBATT di Lubnan adalah menjaga keamanan, selain membantu penduduk tempatan serta pelarian yang memerlukan bantuan kemanusiaan.

Menurutnya, anggota MALBATT berada di negara itu bukan untuk terlibat dalam peperangan, sebaliknya melaksanakan misi keamanan di samping menyalurkan bantuan kepada masyarakat dan pelarian yang memerlukan.

“Penyertaan Malaysia dalam misi itu dilaksanakan di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan negara ini sentiasa komited menyokong usaha keamanan di peringkat antarabangsa.

“Sekiranya misi tersebut ingin diteruskan pada masa hadapan, ia memerlukan mandat baharu daripada PBB,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN