Sindiket penyeludupan migran tumpas

Sindiket penyeludupan migran ke Malaysia tumpas

SERAMAI 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba diseludup ke Malaysia ditahan dalam operasi khas pihak berkuasa Imigresen Wilayah Songkhla di Hat Yai, Thailand. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAT YAI (THAILAND): Pihak berkuasa Imigresen Wilayah Songkhla menumpaskan sindiket migran selepas menahan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong darat dalam satu operasi khas di Daerah Rattaphum, dekat sini, semalam.

Semua PATI itu ditahan pada pukul 2.30 pagi ketika berhimpit di bahagian belakang sebuah pikap putih semasa melalui sekatan jalan raya.

Sumber polis berkata, PATI warganegara Myanmar dan seorang Bangladesh itu dipercayai dalam perjalanan untuk diseludup masuk ke Malaysia melalui Sungai Golok.

“Operasi ini bermula selepas pihak berkuasa menahan terlebih dahulu seorang tekong darat warga Myanmar berusia 45 tahun.

“Hasil soal siasat membawa kepada risikan lanjut sebelum sebuah pikap yang bergerak dari Daerah Pak Tho di Wilayah Ratcha­buri dikesan menuju ke arah sekatan jalan raya di Daerah Rattaphum,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sumber itu berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit menemukan 22 PATI duduk berhimpit di bahagian belakang pikap tersebut.

Katanya, hasil soal siasat, pemandu pikap berusia 40 tahun yang merupakan warga tempatan kemudian mengaku membawa kumpulan itu untuk diserahkan kepada rangkaian sindiket sebelum dihantar ke Malaysia.

“Siasatan awal turut mendedahkan tekong darat warga Myan­mar berkenaan mempunyai hubungan dengan pemandu pikap serta seorang ejen yang dipercayai beroperasi di Malaysia.

“Suspek mengaku membawa semua pendatang itu ke sebuah lokasi penempatan sementara sebelum mereka diserahkan kepada ejen dari Malaysia yang dijangka datang dari Wilayah Narathiwat,” katanya.

Sumber polis berkata, suspek kini ditahan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut mengikut undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN