KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung dakwaan dua individu daripada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Wangsa Maju yang meminta wang perlindungan daripada sebuah premis perniagaan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), hari ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya kini sedang menunggu arahan lanjut daripada pihak TPR berhubung tindakan seterusnya yang akan diambil.
“Kertas siasatan sudah dirujuk hari ini dan kami juga telah memberikan beberapa cadangan (tindakan).
“Bagaimanapun, kita perlu menunggu keputusan muktamad daripada TPR sebelum sebarang langkah diambil,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini hari ini.
Mohamad Lazim memaklumkan, setakat seramai empat orang saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan berkaitan menakutkan seseorang dengan kecederaan bagi tujuan melakukan pemerasan.
Minggu lalu, tular sebuah video di media sosial memaparkan individu terbabit yang didakwa meminta wang perlindungan daripada sebuah pusat urut di ibu negara.
Susulan kejadian itu, media melaporkan dua ahli MPPWP terbabit telah diminta untuk melepaskan jawatan mereka bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Tangkapan ke atas suspek dilakukan pada 26 Mac lalu sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan polis semalam (29 Mac) selepas tempoh reman selama dua hari berakhir.- UTUSAN








