PETALING JAYA: Sebuah rangkaian pusat urut terkemuka di negara ini dipercayai telah membayar wang rasuah berjumlah kira-kira RM2.7 juta setahun kepada beberapa pegawai daripada pelbagai agensi penguat kuasa, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), sebagai wang perlindungan.
Menurut sumber, lima individu melibatkan empat pegawai penguat kuasa dan seorang pesara agensi penguat kuasa telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah membabitkan rangkaian pusat urut berkenaan.
Katanya, empat daripada suspek iaitu tiga pegawai penguat kuasa dan seorang pesara telah direman empat hari sehingga 2 Februari ini selepas Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Jelasnya, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 60-an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya ketika hadir memberi keterangan antara pukul 5 hingga 7 petang semalam.
“Salah seorang suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM, manakala empat lagi dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman.
“Kesemua suspek disyaki menerima suapan daripada syarikat perniagaan pusat urut bagi melancarkan operasi pusat urut serta memudah cara proses permit pekerja asing syarikat berkenaan,” katanya semalam.
Beliau berkata, susulan siasatan tersebut, SPRM turut menjalankan penggeledahan di enam lokasi di Lembah Klang melibatkan pejabat dan kediaman suspek yang dikenal pasti.
Selain itu, SPRM juga telah membekukan 124 akaun perbankan milik individu dan syarikat dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM13.3 juta.
“Siasatan turut mendapati rangkaian pusat urut ini dipercayai menggunakan sistem perakaunan dua lapis, di mana kira-kira 80 peratus jualan tunai tidak dilaporkan, sekali gus menyebabkan anggaran kebocoran cukai sebanyak RM7.56 juta setahun.
“Setakat ini, seramai 16 saksi telah diambil keterangan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan berkenaan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
“Siasatan juga sedang menganalisis dan mengenal pasti elemen-elemen di bawah kesalahan jenayah lain khususnya di bawah aktiviti pengubahan wang haram,” katanya. – UTUSAN










