Rasuah: Bekas pengarah rangkaian pusat urut, isteri berdepan 68 pertuduhan - Utusan Malaysia

Rasuah: Bekas pengarah rangkaian pusat urut, isteri berdepan 68 pertuduhan

Pusat urut
CHUAH Seong Keat dan Wong Choi Nyetsuami dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas 68 pertuduhan rasuah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas pengarah sebuah syarikat rangkaian pusat urut dan isterinya berdepan 68 pertuduhan rasuah berjumlah RM650,000 di Mahkamah Sesyen, hari ini berkaitan kerja perbekalan minyak urut antara 2014 hingga 2020.

Bagaimanapun, tertuduh, Chuah Seong Keat, 59, dan isterinya Wong Choi Nyet, 58, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut yang dibacakan ke atas mereka selama 55 minit di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Berdasarkan pertuduhan, Seong Keat dan isterinya didakwa dengan niat secara rasuah menerima suapan daripada sebuah syarikat yang merupakan pembekal minyak urut.

Suapan itu didakwa sebagai upah kerana memberi tawaran kerja pembekalan bahan tersebut kepada syarikat terbabit yang melibatkan wang berjumlah RM656,395.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat sebuah cawangan bank di daerah Petaling antara 2014 hingga 2020.

Justeru, pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dengan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Alimi Mustapha mencadangkan jaminan RM200,000 bagi setiap tertuduh dan memohon penyerahan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri kepada SPRM setiap bulan.

Peguam Adam Haikal yang mewakili pasangan itu memohon pengurangan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan tiga anak yang masih menuntut di intitusi pengajian tinggi (IPT).

“Mereka juga mempunyai tanggungan seorang ibu berusia 92 tahun yang sudah uzur dan mempunyai pelbagai penyakit. Selain itu, anak guam saya telah memberi kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang proses siasatan dijalankan,” katanya.

Awang Kerisnada kemudian membenarkan jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh dengan penjamin berasingan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Shah Alam.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Jun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN