Semak status hingga 31 Mac atau berdepan tindakan

Semak status hingga 31 Mac atau berdepan tindakan

LIM Siew Khim dalam sidang akhbar pemberian insentif bagi pengusaha taska, tadika dan pusat jagaan di George Town, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi tempoh sehingga 31 Mac ini kepada 225 taska, tadika dan pusat jagaan (TTPJ) yang belum berdaftar untuk menyemak dan mengesahkan status bagi mengelakkan tindakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata, pengusaha TTPJ boleh menyemak status mereka di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Tempoh tersebut diberikan bagi membolehkan pengusaha yang mungkin tercicir daripada senarai sedia ada tampil membuat semakan dan pengesahan dengan pihak berkuasa berkaitan.

“Sekiranya didapati premis mereka tidak tersenarai dan pengusaha dapat membuktikan bahawa permohonan pendaftaran telah dibuat sebelum 31 Disember 2025, maka, pihak JPN dan JKM akan membuat pengesahan dan memasukkan premis tersebut ke dalam senarai berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan rekod sehingga 31 Disember 2025, terdapat sebanyak 1,033 taska, tadika dan pusat jagaan di Pulau Pinang dengan 225 daripadanya masih belum berdaftar.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 213 merupakan taska dengan 61 daripadanya belum berdaftar, diikuti 557 tadika (84 pusat belum berdaftar) dan 263 pusat jagaan (80 daripadanya belum dapat pendaftaran rasmi).

“Keadaan ini perlu diberi perhatian serius memandangkan TTPJ melibatkan golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas serta orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan penjagaan selamat dan berkualiti,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah meluluskan satu inisiatif khas bagi membantu pengusaha mengesahkan status premis dan perniagaan mereka sekali gus menggalakkan lebih banyak pusat tampil mendapatkan pendaftaran rasmi.

“Bagi 225 premis yang tampil mendaftarkan pusat mereka dengan JKM atau JPN sebelum 31 Disember 2025, kerajaan negeri menawarkan pengecualian Kebenaran Merancang (KM) serta kadar tetap RM1,000 bagi fi pemprosesan perakuan pendaftaran infrastruktur.

“Bagi permohonan baharu selepas tarikh tersebut pula, pengusaha akan menikmati diskaun sebanyak 50 peratus fi pemajuan untuk caj tukar guna selain pengecualian denda dianggarkan sekitar RM10,000 bagi setiap premis yang sebelum ini beroperasi tanpa kelulusan,” katanya.

Beliau berkata, tempoh pemutihan dan pemberian insentif berkenaan bermula 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027 sebelum tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mana-mana premis yang masih beroperasi tanpa pendaftaran bermula 1 Mac 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN