Pengasas rangkaian taska didakwa beroperasi tanpa akuan pendaftaran

Pengasas rangkaian taska didakwa beroperasi tanpa akuan pendaftaran

NOR Fadilah Alias didakwa mengikut Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengasas rangkaian taman asuhan kanak-kanak (taska) dihadapkan ke tiga Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan operasi tanpa perakuan pendaftaran yang sah, awal tahun ini.

Datin Nor Fadilah Alias, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni, Nor Fadilah selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa menjalankan operasi dan taska tidak didaftarkan di bawah peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 di Al Kauthar Eduqids (AKE), Sri Rampai Business Park, Media Niaga Rampai, di sini, pada 5 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda maksimum RM20,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Di hadapan Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, OKS bersama pengusaha cawangan, Nurul Aina Zulkifli didakwa menjalankan operasi dan taska tidak didaftarkan di taska cawangan Taman Danau Desa, Brickfields, di sini, kira-kira pukul 3.25 petang, 9 Januari lalu.

Di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin, Nor Fadilah bersama pengusaha cawangan, Nur Khairunnisa Badrillah didakwa menjalankan operasi dan taska tidak didaftarkan di taska cawangan Taman Sutera, Cheras, pada pukul 10.15 pagi, 5 Februari lalu.

Pertuduhan kedua dan ketiga itu dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nurainizatul Farhana Zainal, Nuriwanina Ibrahim dan Hench Goh.

Kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Syed Adam Al-Aqib Syed Mohammad Redza.

Mahkamah menetapkan jaminan RM9,000 bagi Nor Fadilah untuk semua pertuduhan manakala ikat jamin Nurul Aina ditetapkan pada RM2,500 dan Nur Khairunnisa RM3,500.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Jun ini bagi serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN