PETALING JAYA: Penubuhan Sekretariat Musyawarah dilihat penting bagi mengemukakan agenda membina Melayu bermaruah melalui pendekatan politik nilai.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, walaupun terdapat pelbagai pandangan politik, Amanah berpandangan sekretariat tersebut merupakan ruang yang wajar dimanfaatkan untuk membina masyarakat Melayu yang yakin dengan jati diri dan nilai Islam.
Katanya, Melayu bermaruah ialah Melayu yang yakin dengan jati diri dan nilai Islam, berintegriti dalam kepimpinan, berani menegakkan kebenaran serta memajukan bangsa melalui ilmu, kecekapan dan tadbir urus yang bersih.
“Tujuannya supaya orang Melayu maju dengan keyakinan dan tidak mudah diperdaya oleh naratif ‘Melayu terancam’ yang sering digunakan untuk menakut-nakutkan masyarakat.
“Hakikatnya, dalam keadaan kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera terpelihara serta dijamin oleh Perlembagaan, tiada sebab untuk masyarakat hidup dalam politik ketakutan dan kebencian,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, lapan parti politik utama berteraskan Islam, Melayu dan bumiputera mencipta sejarah berhimpun dalam satu pentas menerusi Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Antara parti terlibat adalah UMNO, Pas, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Berjasa, KIMMA, dan Parti Ikatan Bangsa (Ikatan).
Khalid berkata, berasaskan ajaran Islam, politik seharusnya digerakkan secara positif untuk membina masyarakat dan memimpin ke arah kebaikan untuk semua.
“Melayu bermaruah tidak dibina melalui politik ketakutan, sebaliknya melalui keyakinan diri, ilmu dan kematangan berfikir.
“Apabila jiwa Melayu dibina dengan ketakutan dan emosi, mereka mungkin patuh tetapi tidak berfikir, setia tetapi tidak berdaya saing serta lebih cenderung menyalahkan orang lain daripada memperbaiki diri,” katanya.
Menurut beliau, sebagai parti yang berteraskan nilai Islam yang rahmah dan pendekatan politik nilai, Amanah melihat ruang dialog seperti itu sebagai langkah positif untuk memperkukuh persefahaman dan mencari titik persamaan antara parti-parti politik.
“Usaha memperkasakan umat Islam dan masyarakat Bumiputera perlu digerakkan melalui nilai, idea, dasar dan penyelesaian yang konstruktif, bukan melalui sentimen emosi atau pendekatan perkauman sempit yang akhirnya hanya memecahbelahkan masyarakat.
“Amanah berharap pertemuan ini tidak berakhir di sini dan wajar diteruskan serta diperluaskan dengan penglibatan lebih banyak parti politik lain bagi membina budaya politik yang lebih inklusif, matang dan beradab,” katanya. – UTUSAN







