Saya akan pertahan harga RM1.99 seliter

‘Saya akan pertahan harga RM1.99 seliter’

ANWAR Ibrahim ketika hadir pada Majlis Perasmian Masjid Mengkuang Titi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam. – MINGGUAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan cuba mencari jalan untuk mempertahankan harga mi­nyak RON95 pada kadar RM1.99 seliter.

Perdana Menteri berkata, hal ini disebabkan oleh kenaikan harga minyak sehingga dua kali ganda gara-gara sekatan yang dibuat terhadap kapal-kapal be­sar yang mengangkut minyak dan gas di Selat Hormuz.

“Saya akan pertahankan RM1.99 seliter (harga minyak RON95) ini. Doalah mudah-mudahan boleh kita pertahankan walaupun tak tahu berapa lama,” katanya dalam ucapan Majlis Perasmian Masjid Mengkuang Titi di sini, semalam.

Dalam pada itu, Anwar menasihatkan semua pihak khususnya rakyat agar menguruskan perbelanjaan mereka dengan lebih berhemat susulan konflik melanda Asia Barat ketika ini khususnya perang antara Iran dan Amerika Syarikat (AS).

Anwar berkata, beliau memahami keselesaan yang di­nikmati Malaysia ketika ini namun, dalam situasi antarabangsa tidak menentu ketika ini, kerajaan bertanggungjawab me­ng­ingatkan rak­yat bahawa ke­adaan boleh berubah dalam se­kelip mata.

“Sekiranya kita (rakyat) ma­sih berada pada tahap terlalu selesa dan tidak mengendah­kan soal kewangan maka di­bimbangi kerajaan tidak akan mampu untuk menguruskan kegawatan ekonomi yang mung­kin berlaku kelak.

“Hal ini bukan berlaku untuk satu negara, malah ber­puluh negara terlibat. Dalam pe­perangan pun, puluhan negara juga (terlibat) dan kesannya, harga barang meningkat tinggi.

“Jadi, sementara keadaan se­karang yang masih terkawal, saya bertanggungjawab untuk mengingatkan semua supaya berjimat cermat.

“Jangan boros tidak tentu arah kerana kita belum dapat jangka keadaan ekonomi berapa lama boleh bertahan. Oleh itu, pandai-pandailah uruskan ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN