Salleh sangkal kenyataan Ku Li, Sabah faham autonomi dan kemerdekaan

Salleh sangkal kenyataan Ku Li, Sabah faham autonomi dan kemerdekaan

SALLEH SAID KERUAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kenyataan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa ramai rakyat Malaysia Timur keliru antara autonomi dengan kemerdekaan, tidak mencerminkan realiti sebenar.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, rakyat Sabah memahami negeri ini merupakan sebahagian daripada Persekutuan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, isu kemerdekaan bukan perkara yang diperjuangkan oleh rakyat Sabah, sebaliknya tumpuan adalah kepada autonomi sebagaimana diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Autonomi yang dibangkitkan merangkumi hak dalam Persekutuan termasuk kuasa pentadbiran, imigresen, hasil serta keutamaan pembangunan.

“Sebaliknya, kemerdekaan membawa maksud pemisahan dan kedaulatan penuh. Ini bukan pendirian arus perdana di Sabah,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Tengku Razaleigh dalam satu temu bual berkata, Sabah dan Sarawak perlu beroperasi dalam kerangka Perlembagaan yang dibentuk oleh pengasas Malaysia pada 1963.

Beliau turut menyatakan, terdapat kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia Timur antara autonomi dan kemerdekaan.

Salleh berkata, isu teras bagi rakyat Sabah adalah memastikan hak dan jaminan seperti dipersetujui dalam MA63 dilaksanakan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Katanya, menggambarkan perkara itu sebagai ‘kekeliruan’ berisiko mengetepikan isu sebenar yang diperjuangkan rakyat Sabah.

“Rakyat Sabah kini lebih bermaklumat termasuk generasi muda yang memahami sejarah, Perlembagaan serta kedudukan negeri dalam Persekutuan.

“Justeru, tuntutan autonomi perlu dilihat sebagai usaha sah untuk memartabatkan semangat asal pembentukan Malaysia, bukannya langkah ke arah pemisahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN