GEORGE TOWN: Majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri di Pulau Pinang boleh diteruskan secara sederhana sebagai platform menyantuni rakyat serta memupuk perpaduan masyarakat.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dianjurkan bersama Yang Dipertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib dan kerajaan negeri hanya melibatkan satu majlis rasmi yang lazimnya diadakan secara sederhana setiap tahun.
”Sepanjang penganjurannya sebelum ini, majlis tersebut tidak dilaksanakan secara mewah sebaliknya lebih kepada tradisi untuk menyantuni rakyat dengan hidangan tempatan.
”Majlis ini memang satu platform untuk menyantuni rakyat. Orang ramai juga menantikan peluang untuk bertemu dan melihat Yang Dipertua Negeri serta pemimpin negeri,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan mengambil langkah penjimatan termasuk tidak menganjurkan majlis rumah terbuka melibatkan agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat sebagai mesej supaya semua pihak mengamalkan perbelanjaan secara lebih cermat dan sederhana ketika dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik berkenaan.
Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga menasihatkan jabatan dan agensi kerajaan supaya mengadakan sambutan Aidilfitri secara sederhana di peringkat dalaman sahaja.
”Banyak jabatan buat secara in-house atau potluck dan sebagainya. Kalau kecil-kecilan dalam jabatan melibatkan kira-kira 50 hingga 100 orang tanpa jemputan luar, saya rasa tiada halangan,”katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, majlis yang melibatkan perbelanjaan besar atau penganjuran secara mewah wajar dielakkan pada masa ini.
”Jika ada agensi mahu buat majlis besar melibatkan perbelanjaan tinggi, elok dielakkan buat masa ini. Kita perlu minimakan,” katanya.
Beliau berkata, majlis rumah terbuka di peringkat komuniti seperti dianjurkan wakil rakyat atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) secara sederhana juga boleh diteruskan kerana berperanan sebagai ruang menyantuni rakyat. – UTUSAN










