Rumah dihempap pokok petai ketika sedang memasak juadah berbuka

Rumah dihempap pokok petai ketika sedang memasak juadah berbuka

SEORANG anggota bomba memotong pokok petai berketinggian hampir 30 meter yang menghempap sebuah rumah penduduk dalam kejadian ribut yang berlaku di Kampung Tasek, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, petang semalam.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Lima sekeluarga berdepan detik-detik mencemaskan apabila sebatang pokok petai berketinggian hampir 30 meter menghempap rumah mereka dalam satu kejadian ribut di Kampung Tasek dekat sini, kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

Mangsa, Norazimah Ibrahim, 43, berkata, ketika kejadian, dia sedang memasak juadah untuk berbuka puasa manakala ibunya, Faridah Harun, 64, yang tinggal bersebelahan berada di luar rumah pada masa itu.

“Tiba-tiba, saya terdengar satu bunyi kuat macam guruh semasa tengah memasak. Tak sangka pula bunyi itu datang daripada sebatang pokok besar yang tumbang mengenai rumah kami.

“Ketika itu juga, saya nampak ada percikan api apabila pokok tumbang itu turut menghempap wayar elektrik sebelum mengenai rumah saya.

“Akibat kejadian itu, kami sekeluarga terpaksa bergelap untuk tempoh yang agak lama iaitu sehingga pukul 2 pagi sehingga bekalan elektrik berjaya dipulihkan semula,” katanya.

Norazimah ditemui ketika menerima kunjungan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bersama para pegawai dari pejabat daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan dan beberapa kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah SPU, hari ini.

Menurut Reezal Merican yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, beliau dimaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 34 buah rumah di sekitar Kepala Batas dan sebahagian Tasek Gelugor terjejas akibat kejadian ribut kuat itu.

“Kawasan ini sahaja (Kampung Tasek) ada lebih kurang lapan buah rumah. Di kawasan Taman Seni Menerong juga ada lapan, di kawasan Pokok Jeneris dan Kubang Menerong pun ada (rumah yang terjejas akibat ribut).

“Jadi, pada peringkat awal ini, kita turun untuk beri bantuan. Sebagai contoh, setiap rumah yang terjejas akan menerima bantuan antara RM200 hingga RM400 bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami. Saya difahamkan, JKM juga akan menghulurkan bantuan sebanyak RM300 dan lain-lain,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor, Mohamad Yazi Taib berkata, pihaknya menghadapi kesukaran untuk tiba ke lokasi kerana jalannya yang agak sempit.

“Di kawasan ini juga terdapat banyak pokok besar yang berisiko, namun, ia terletak terlalu hampir dengan tiang elektrik. Jadi, kami terpaksa ambil masa sebelum dapat menebangnya,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN