NARATHIWAT (THAILAND): Sebilangan rakyat Malaysia masih masuk ke Thailand semata-mata mahu membeli diesel yang dijual lebih murah berbanding negara mereka.
Seorang pekerja stesen minyak yang mahu dikenali sebagai Tie, 35, berkata, ketika ini harga diesel satu liter diesel dijual pada 38 bath atau RM4.82.
“Kebanyakan orang Malaysia ini datang dari sekitar Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat yang bersempadan dengan wilayah Narathiwat untuk membeli bahan bakar itu.
“Saya dimaklumkan harga diesel di Malaysia ketika ini RM5.52 seliter. Jadi faktor harga menjadi punca orang Malaysia datang membeli diesel sambil mencari makanan yang enak di sini,” katanya.
Tie berkata, jumlah rakyat Malaysia membeli diesel meningkat setiap kali hujung minggu bermula Khamis hingga Ahad.
Katanya, bagaimanapun pihak stesen minyak mengehadkan pembelian bagi mengelak kehabisan bekalan.
Sementara itu, seorang lagi pekerja di stesen minyak, Sawitah berkata, pihaknya terpaksa menggantung kain rentang memaklumkan bekalan bahan api habis.
“Sudah dua hari stesen minyak ini kehabisan bahan api. Ini bukan kali pertama tetapi sudah lebih lima kali dalam bulan ini. Jika bekalan bahan bakar tiba dengan kuantiti sebanyak 6,000 liter, ia habis dijual dalam masa empat jam sahaja.
“Bagi penduduk di sempadan Narathiwat ini agak beruntung kerana masih ada pilihan diesel dan petrol seludup dari Malaysia yang banyak di jual di tepi jalan dari Takbai-Narathiwat,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Persatuan Operator Pengangkutan di Selatan Thai menggesa pengawal tenaga di Wilayah Selatan negara ini iaitu Narathiwat, Yala, Songkhla dan Satun mengehadkan pembelian diesel oleh kenderaan Malaysia.
Ahli Persatuan Operator Pengangkutan/Van Pelancongan Wilayah Narathiwat, Nik Rosil Nik Mat berkata, ia sekali gus mengurangkan beban pengguna tempatan terutama petani, pemilik lori dan syarikat pengangkutan, memperoleh bekalan diesel yang mencukupi.
Menurutnya, harga jualan diesel yang lebih murah di negara ini menyebabkan pemilik kenderaan negara jiran datang mengisi bahan bakar di beberapa bandar berhampiran sempadan kedua-dua negara. – UTUSAN










