MEXICO CITY: Pengendali Mexico, Javier Aguirre menyifatkan kemenangan 2-0 ke atas Ecuador dalam aksi pusingan 32 Piala Dunia 2026 sebagai bukti kekuatan mental dan kesepaduan pasukan serta sokongan padu penyokong di Stadium Mexico City.
Aguirre berkata, anak buahnya mempamerkan aksi bertenaga pada babak pertama sebelum kekal tenang dan berdisiplin ketika bertahan di separuh masa kedua untuk memastikan tempat ke pusingan 16 terbaik.
“Kami bermain dengan sangat baik pada babak pertama dan pada separuh masa kedua kami berjaya kekal tenang ketika bertahan,” katanya.
Beliau turut memuji hubungan erat antara pemain dan penyokong yang menurutnya menjadi pemangkin kepada prestasi cemerlang pasukan tuan rumah.
“Melihat kepada suasana stadium dan kegembiraan penyokong, saya yakin wujud hubungan yang sangat erat antara pasukan dan penyokong,” ujarnya.
Perlawanan yang bermula lewat akibat ribut petir itu menyaksikan Mexico menampilkan aksi meyakinkan untuk menyingkirkan Ecuador, sekali gus menamatkan penantian 40 tahun kemenangan pusingan kalah mati di pentas Piala Dunia.
Aguirre turut menzahirkan pujian terhadap persembahan pemain muda, termasuk Gilberto Mora yang beraksi dengan penuh keberanian sebelum dikeluarkan pada babak kedua akibat keletihan.
“Sayang Mora sudah kehabisan tenaga, tetapi dia masih muda dan sangat berani. Semua pemain bekerja keras sepanjang perlawanan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau optimis Mexico mampu melangkah lebih jauh sekiranya terus mempamerkan aksi konsisten di peringkat 16 terbaik.
“Perlawanan Ahad nanti adalah yang paling penting dalam sejarah pasukan kebangsaan Mexico dan juga sepanjang karier saya,” tambah Aguirre.
Mexico kini mara ke pusingan 16 terbaik dan bakal menentang sama ada England atau Republik Demokratik Congo.-AGENSI










