England perlu kreatif ‘tebuk’ tembok DR Congo

England perlu kreatif ‘tebuk’ tembok DR Congo

HARRY Kane mahu membuktikan ketajaman penyudah ketika berdepan DR Congo, esok.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATLANTA: England dilihat masih belum mempamerkan prestasi sebenar mereka pada kempen Piala Dunia 2026 dan pertembungan pusingan 32 terbaik menentang Republik Demokratik (DR) Congo awal pagi esok dijangka menjadi ujian getir buat skuad The Three Lions.

Walaupun dibarisi bintang bertaraf dunia seperti Harry Kane, Jude Bellingham dan Bukayo Saka, England masih mencari rentak terbaik selepas aksi kurang konsisten sepanjang saingan peringkat kumpulan.

Lebih menarik, perlawanan di Stadium Atlanta itu bakal menjadi pertemuan pertama antara kedua-dua negara di pentas antarabangsa, dengan England hadir selaku pasukan pilihan manakala DR Congo membawa status pasukan kejutan selepas mencipta sejarah mara ke peringkat kalah mati Piala Dunia buat kali pertama.

Pengendali England, Thomas Tuchel mengakui pasukannya tidak boleh memandang rendah kemampuan wakil Afrika itu kerana saingan kalah mati sentiasa menjanjikan cabaran berbeza dan tidak memberi ruang untuk melakukan kesilapan.

Menurutnya, status pasukan pilihan tidak menjamin apa-apa, malah beliau menjangkakan DR Congo akan menggunakan pendekatan bertahan dan mengharapkan serangan balas pantas untuk menghukum England.

“Kejohanan ini sangat sukar. Pada peringkat kalah mati, apa yang penting adalah mencari jalan untuk menang. Kami perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan.

“Kita boleh jangkakan lawan akan bermain bertahan dan menggunakan serangan balas pantas, jadi kita perlu berwaspada dengan ancaman itu serta memanfaatkan setiap peluang yang dicipta sebaik mungkin. Setiap minit boleh menentukan keputusan,” kata Tuchel.

Di sebalik kelebihan yang dimiliki England dari segi pengalaman dan kualiti individu, DR Congo sudah membuktikan mereka bukan sekadar pelengkap jadual apabila berjaya menempah tiket ke pusingan kalah mati hasil semangat juang tinggi dan disiplin taktikal yang mantap.

Jurulatih DR Congo, Sebastien Desabre menegaskan pasukannya tidak gentar untuk berdepan salah satu kuasa besar bola sepak dunia dan percaya anak buahnya mampu mencipta satu lagi kejutan.

Beliau menyandarkan harapan kepada beberapa pemain berpengalaman yang beraksi di liga utama Eropah seperti Yoane Wissa dan Cedric Bakambu untuk mengancam benteng England, khususnya menerusi serangan balas yang pantas.

“Kami akan memulakan persiapan dengan segera. Beberapa pemain kami beraksi di England dan mereka boleh membantu dari segi maklumat.

“Kami akan bersedia sebaik mungkin untuk perlawanan yang sangat besar ini dan mahu terus kekal dalam saingan,” ujar Desabre.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN